Al-Quran diturunkan
untuk membawa petunjuk manusia di dunia. Selain daripada itu penurunan Al-Quran
juga merupakan satu mukjizat yang terbesar kepada Nabi Muhammad SAW. Penurunan
Al-Quran berlaku dalam dua peringkat
iaitu secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan kemudiannya
secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW. Penurunan Al-Quran memakan masa
selama 22 tahun 2 bulan 22 hari. Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi
hikmat, petunjuk, penerangan, penjelasan dan ikutan, amalan serta untuk bacaan
umat manusia di dunia. Al-Quran merupakan kalam Allah yang benar dan sesiapa
yang mengingkarinya adalah kufur. Al-quran adalah wahyu agung yang merupakan
suatu perkara yang amat penting dalam Islam malahan menjadi asas kepada kewujudan
Islam itu sendiri. Pada hari ini walaupun manusia telah ditinggalkan oleh Nabi
beratus tahun dahulu namun Al-Quran yang merupakan wahyu Allah SWT masih kekal
dengan keasliannya daripada sebarang perubahan oleh tangan-tangan manusia. Isi
kandungan al-Quran dan ajarannya masih tetap relevan dengan masa dan zaman
walau telah ditelan masa yang begitu lama tetapi oleh kerana jaminan daripada
Allah SWT Al-Quran terpelihara sehingga akhir zaman. Tanpa ragu dan syak wahyu
Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi SAW mengandungi maksud dan peranan yang
amat besar dalam memimpin manusia ke jalan yang benar, membimbing manusia bagi
memperoleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, menyuruh
manusia melaksanakan syariatnya dalam semua aspek kehidupan, memberitahu khabar
gembira tentang balasan syurga kepada yang melakukan kebaikan dan khabar
dukacita kepada golongan yang melakukan kejahatan.
Oleh itu, dalam tugasan
yang diberikan ini saya akan menjelaskan definisi wahyu menurut bahasa dan
menurut istilah syarak sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama
mengenainya. Di samping itu adalah untuk mengenal pasti ayat-ayat Qur’an
Makkiyah dengan mengenal pasti konsep berkaitan dengan wahyu yang terdapat
dalam ayat tersebut dan
menganalisa konsep wahyu makkiyah. Segala rujukan dan isi kandungan tugasan ini
diambil daripada petikan kata-kata ulama yang terdapat dalam buku-buku, journal
ilmiah dan perbincangan di kalangan rakan-rakan sekuliah.
DEFINISI WAHYU
Menurut Wan Mohammad
Ubaidillah bin Wan Abas & M. Y. Zulkifli (2012) lafaz wahyu dan pecahannya
disebut sebanyak 78 kali dalam al-Qur’an. Kalimah yang berasal daripada bahasa
Arab ini mempunyai pelbagai makna. Antaranya ialah al-isyarat, al-risalat,
al-ilham, al-kalam alkhafiy dan segala apa yang disampaikan kepada orang lain.
Ia juga bermaksud inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang. Menurut
Kamus Dewan, wahyu bermaksud firman (kalam) Allah yang dibacakan kepada nabi
dan rasulnya yang disampaikan sama ada melalui malaikat Jibril ataupun tanpa melaluinya.
WAHYU MENURUT BAHASA
Wahyu menurut bahasa membawa maksud
berikut:
- Memberitahu
sesuatu dengan cara yang tidak jelas atau samar-samar dan segera.
- Sesuatu
yang ditulis atau al-Risalah yang membawa maksud kerasulan.
- Segala
yang disampaikan secara rahsia kepada pihak lain supaya dapat
diketahuinya.
- Wahyu
membawa maksud sesuatu yang ditulis atau al-Maktub.
- Segala
apa yang disampaikan oleh Allah secara rahsia kepada makhluknya baik
manusia atau binatang.
- Segala
apa yang disampaikan oleh makhluk sesama mereka.
Sebagai kesimpulannya,
penurunan wahyu menurut bahasa ialah turun dari tempat tinggi. Ia merupakan majaz
atau simbolik yang menunjukkan ketinggian Al-Quran dan kemuliaannya. Wahyu juga
boleh ditakrifkan iaitu memberi isyarat, mengirim utusan, berbisik-bisik,
berbicara di tempat tersembunyi yang tidak diketahui oleh orang lain atau
mengilhamkan ke dalam hati sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al-Qasas
ayat 7: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia. Dalam pada
itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun),
maka (letakkanlah Dia di Dalam peti dan) lepaskanlah Dia ke laut; dan janganlah
Engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; Sesungguhnya Kami akan
mengembalikannya kepadamu, dan kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari
Rasul-rasul kami”.
PENGERTIAN WAHYU MENURUT ISTILAH
Wahyu dari segi istilah
ialah nama bagi sesuatu yang disampaikan secara cepat daripada Allah SWT ke
dalam dada nabinya atau dengan cara mengutuskan utusan sebagaimana yang telah
digunakan untuk lafaz al-Quran dengan mengutus Jibril as. Nabi Muhammad SAW bukanlah nabi yang pertama
menerima wahyu daripada Allah. Bahkan terdapat di kalangan para nabi sebelumnya turut diberikan wahyu
kepada mereka. Firman Allah Taala.
إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى
نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ
وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأسْبَاطِ وَعِيسَى وَأَيُّوبَ
وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُدَ زَبُورًا
وَرُسُلا قَدْ
قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِنْ قَبْلُ وَرُسُلا لَمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ
وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا
Maksudnya:
“Sungguhnya Kami
telah memberikan wahyu kepadamu (Wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah
memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi Yang diutus kemudian
daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi
Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi
Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga
Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur”. Dan beberapa orang Rasul
Yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul Yang
tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. dan Allah telah berkata-kata kepada
Nabi Musa Dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan.
an-Nisa:
ayat 163
Oleh itu dapat difahami
dari sini wahyu dari segi istilah syarak bermaksud kalam Allah yang diturunkan
kepada seorang Nabi yang mengandungi ajaran dan pedoman hidup atau pemberitahuan
Allah SWT kepada orang yang suci bersih lagi terpilih di kalangan hambanya
mengenai apa yang dikehendakinya sama ada hidayah ataupun ilmu secara rahsia
atau tersembunyi dan juga secara luar biasa. Muhammad Abduh mendefinisikan
wahyu sebagai pengetahuan yang didapati oleh seseorang dari dalam dirinya
dengan disertai keyakinan bahawa pengetahuan itu datang dari Allah, sama ada
melalui perantara ataupun tidak, iaitu melalui suara yang menjelma dalam
telinga atau tanpa suara sama sekali, (Wan Mohammad Ubaidillah bin Wan Abas
& M. Y. Zulkifli bin Mohd Yusoff). Wahyu boleh berlaku dengan pelbagai
cara. Antaranya ialah:
- Percakapan
antara Tuhan dan hambanya.
Contohnya : peristiwa
ketika Nabi Musa berkata-kata dengan Allah swt ketika bermunajat di Bukit Tursina
- Ilham
yang diserapkan ke dalam hati orang yang terpilih atas dasar ilmu yang
benar dan tidak dapat dinafikan serta tidak ada keraguan padanya.
- Mimpi
yang benar yang pasti berlaku sebagaimana terbitnya fajar di waktu subuh.
- Wahyu
yang datang melalui perantaraan malaikat Jibril as malaikat yang mulia dan
merupakan ketua segala malaikat.
Daripada pentakrifan
yang dilakukan oleh para ulama mengenai wahyu kita dapat simpulkan bahawa
pengertian wahyu ialah segala berita yang datang dari Allah SWT yang diturunkan
kepada hambanya yang dikasihi dalam bentuk ajaran atau syariat untuk mengatur
cara hidup manusia di atas muka bumi ini. Di samping menjadi pegangan dan panduan
dalam kehidupan umat manusia.
0 ulasan:
Post a Comment