Powered by Blogger.

Wednesday, December 22, 2010

SENARAI MURID DAERAH TENOM DITERIMA MASUK KE TINGKATAN 1 SMKAA 2011



Berikut ialah senarai pelajar daerah Tenom yang diterima memasuki tingkatan 1 sekolah menengah Agama 2011.

1. Nor Idayu bte Lamit - SMKA Tun Datu Mustpha ( SK Melalap )

2. Nur Ainol Mardhiah bt Ariffin - SMKA Tun Datu Mustpha ( SK Kallang Kanar )

3. Khalid Asbah - SMKA Mohamad Ali ( SK Inubai )


surat tawaran telah dihantar sendiri ke sekolah yang berkenaan. sila lengkapkan borang akuan terima dan bersetuju dengan syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan oleh pengurusan SMKA dan sila lapor diri di sekolah berkenaan pada 3 Januari 2011.

Tahniah kepada yang berjaya.....kepada yang kurang berjaya tetapi berminat anda boleh mengemukakan rayuan ke SPI melalui UPI PPD Tenom..

Wednesday, November 10, 2010

Tuesday, November 9, 2010

HINA ISLAM DARI FAN FACEBOOK

Salam sejahtera kepada semua umat Islam khususnya umat Islam Malaysia, Bersyukur kepada Allah kerana telah menganugerahkan nikmat kesihatan dan masih lagi meneruskan kontrak kehidupan kita semua. Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan Muhammad saw. Berkat perjuangan Baginda Islam dapat dikecapi oleh semua pihak sehingga sekarang ini. Tetapi malangnya Islam semakin hari semakin dihina oleh musuh-musuh Islam yang tidak jemu-jemu mencari jalan untuk menjatuhkan akidah umat Islam sehingga Islam lupus di dunia ini.

Terbaru para musuh Islam menggunakan rangkaian sosial facebook untuk menghina Islam dan direka berbagai gambar yang sangat memalukan dan sangat menghina (Lihat Sini). Saya sendiri tidak sampai hati melihat umat Islam dan rumah Allah (Baitullah) dihina sebegitu rupa. Ini merupakan tempat suci umat Islam yang saban tahun dikunjungi oleh umat Islam untuk menjalankan ibadah umrah dan haji. Ini petanda bahawa umat Islam semakin lemah dan semakin rapuh dimakan usia. Saya yakin ada sebahagian umat Islam yang telah mengorbankan harta, duit, nyawa dan masa mereka untuk menegakkan Islam yang kamil sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah dahulu. Tetapi malangnya mereka tidak mendapat sokongan yang sepatutnya untuk memberi segala bantuan yang sepatutnya dalam perjuangan mereka. Inilah yang dikatakan umat Islam akhir zaman diibaratkan buih di lautan tiada gunanya lagi.

Wahai umat Islam marilah kita bersatu dibawah panji kebenaran untuk menentang musuh-musuh Islam walaupun dengan apacara sekalipun. Inilah yang dinamakan sebagai jihat fisabilillah yang bukan semua umat Islam dapat melaksanakannya, kerana ia memerlukan pengorbanan yang paling besar iaitu jiwa raga. Musuh Islam bukan sahaja orang luar dari agama Islam tetapi ia juga dari kaum munafik yang menjadi duri dalam daging dan sentiasa mengintai dan menggagalkan segala kerja yang dilaksanakan oleh pejuang Islam. Meraka ini berlakon seolahnya memperjuangkan Islam dan hidup didalam amalan Islam yang sempurna kononnya, tetapi pada hakikatnya mereka juga merupakan musuh Islam yang sangat bisa dan bahaya dari musuh Islam diluar sana.

Akhir sekali saya siarkan gambar-gambar penghinaan sebagai tontonan semua akan kekejaman dan kejahatan musuh-musuh Islam terhadap umat Islam yang tidur dan menjadikan facebook itu sebagai tempat membuang masa dan mencari kesenangan dan dosa. Hal ini bukan saya menghalang penggunaan facebook, tetapi gunakanlah kearah kebaikan dan kesejahteraan kita semua.

Ihsan dari http://sabahdaily.blogspot.com/2010/11/hina-islam-dari-fan-facebook.html








Tuesday, November 2, 2010

KURSUS ORIENTASI KSSR KURIKULUM STANDADR SEKOLAH RENDAH

MAKLUMAN KEPADA GURU-GURU TAHUN 1 DAN KETUA PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH DAERAH TENOM.
KURSUS KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH AKAN DIADAKAN PADA KETEPAN BERIKUT

TARIKH : 10 NOVEMBER 2010
HARI : RABU
MASA : 8.00 AM - 4.00 PM
TEMPAT : BILIK KULIAH PUSAT KEGIATAN GURU TENOM

KEHADIRAN TUAN / PUAN ADALAH WAJIB SEBAGAI PENDEDAHAN AWAL KSSR YANG AKAN DILAKSANAKAN MULAI TAHUN 2011.
TERLEBIH DAHULU DIUCAPKAN RIBUAN TERIM KASIH ATAS KEPRIHATINAN DAN KOMITMEN.

JAZAKALLAHU KHAIRAN KATHIRAN..

USTAZ. MAAROF MOHD HAMZAH@MATIN
PPD TENOM

Thursday, March 25, 2010

DIDIK ANAK KENAL ALLAH

Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan ‘Allah” dan “Lailaha illa Allah”, para ibu dan bapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuh iman dan keyakinan anak itu kepada Allah. Anak yang masih baru mengenal dunia itu amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan.

Oleh kerana maklumat yang tersimpan dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibu dan bapa, mudah sahaja ditelan bulat-bulat. Oleh itu, tempoh inilah saat yang paling sesuai untuk memulakan ‘pengajian’ aqidah kepada anak-anak.

Jangan fikir anak-anak anda tidak mampu memahami soal akidah ini. Walau pun aqidah ini perkara abstrak—tidak boleh dilihat dan ditunjukkan melalui pancaindera—namun jika kena cara penceritaannya, anak-anak boleh memahaminya dengan mudah.

Usah dedahkan dahulu soal-soal falsafal yang terhimpun dalam kitab-kitab tauhid yang tebal-tebal itu. Cukuplah dengan mengaitkan iman kepada Allah itu dengan benda-benda yang dilalui dan dirasai oleh anak-anak itu seperti makanan, pokok-pokok, anggota badannya, dan seumpamanya.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, sejak anak itu mula mumayyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya ini tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.

Bahkan mengenali Allah ini tidak sukar untuk dilakukan dengan memulakan pada anggota badan sendiri. Misalnya, minta anak itu meletakkan telinga ke atas dada ibu atau ayah untuk merasai degupan jantung. Kemudian minta dia merasai jantungnya sendiri dengan tangan. Jelaskan bahawa jantung itu telah bergerak sejak dari dalam perut hingga mati. Jelaskan juga bahawa manusia tidak mampu untuk menggerakkannya jika tanpa kekuasaan Allah. Jika Allah mahu matikan seseorang, Allah boleh hentikan sahaja jantungnya.

Kemudian, ibu bapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna.

Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah tanda kasih Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati agar semakin dekat dirinya dengan Allah. Jika menonton, terjumpa atau bercerita tentang dengan mereka yang cacat, miskin, atau melarat, janganlah lupa untuk mengingatkan anak agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.

Fahamkan kepada mereka bahawa Allah kadang-kadang menjadikan manusia dan makhluk lain dengan beberapa kekurangan supaya manusia lain dapat bersyukur dengan kesempurnaan serta nikmat yang diberikan.

Setiap kali mengadap makanan, ibu bapa perlu sentiasa menyebut bahawa rezeki itu dari Allah. Jelaskan bahawa, walau pun makanan atau bahannya itu mungkin dibeli, namun hakikatnya ia datang dari Allah melalui pintu-pintu rezeki seperti kepandaian, kebolehan, pekerjaan yang baik dan gaji yang memuaskan.

Bandingkan dengan orang lain yang susah dan tidak ada makanan untuk dijadikan santapan. Cara ini insyaallah mampu meningkatkan keyakinan tentang sifat Allah Yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Selain itu jangan lupa untuk meminta anak-anak agar mendalami rasa sayang dan kasih kepada Allah sebagaimana Allah mengasihi mereka.

Bila berkelapangan, bawa anak-anak beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok bermain, jangan lupa untuk sebutkan tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam yang sangat cantik. Sebutkan tentang kerdilnya manusia yang tak mampu untuk membuat makhluk seumpamanya walau pun sebesar semut. Kaitkan juga dengan hakikat bahawa makhluk-makhlik Allah itu termasuk pohon-pohon, batu, air, binatang dan tanah sentiasa berzikir kepada Allah dengan bunyi yang tidak didengari atau dalam bahasa yang difahami manusia.

Kemudian, paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Meneliti dan Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa yang sedang manusia lakukan.

Pendekatan ini amat penting untuk melahirkan sifat ihsan dalam diri anak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW tentang ihsan iaitu:

“Agar kamu menyembah Allah seolah-oleh engkau sedang melihatNya. Andaikata engkau tidak mampu melihatnya, maka yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau”.

Sifat ihsan ini adalah teras dalam mengukuhkan aqidah anak-anak. Imam Al-Ghazali membawa satu kisah Sahel bin Abdullah Al-Tustari dalam kitab Ihya Ulumiddin.

Sahel berkata: Ketika aku berusia tiga tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku, Muhammad bin Siwar. Pada suatu hari, dia berkata kepada ku: Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikan engkau? Aku menjawab: Bagaimana aku berzikir kepadaNya? Muhammad bin Siwar menjawab: Sebutkan dalam hati mu ketika engkau berbalik-balik di tempat tidur tiga kali, tanpa engkau menggerakkan lidah mu: “Allahu ma’ani, Allah naazirun ilayya, Allah syaahidi” (Allah ada bersama-sama ku, Allah melihat kepadaku, Allah memerhatikanku).

Renungilah bagaimana Rasulullah mentarbiyah seorang anak kecil iaitu Abdullah bin Abbas r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi. Abdullah mengatakan bahawa:

“Pada satu hari aku menunggang bersama di belakang Nabi SAW. Lantas, Baginda bersabda: Wahai anak kecil! Aku akan mengajarimu beberapa pedoman: Peliharalah Allah, niscaya Dia akan memelihara mu. Peliharalah Allah nescaya Dia akan berada hampir denganmu. Jika kamu mahu meminta, maka mintalah daripada Allah. Jika kamu mahu mendapatkan pertolongan, dapatkanlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan ketetapan dari Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu melakukannya, melainkan dengan ketetapan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering.”

Demikianlah contoh unggul tarbiyah rabbaniyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Paparan ini membuktikan bahawa pendidikan untuk memastikan anak-anak mengenal Allah amat penting untuk dimulakan sejak dari kanak-kanak. Dengan kesungguhan ibu bapa menerapkan aqidah yang sahih ini insyaallah dapat menjadikan anak-anak tegus mempertahankan aqidah walau pelbagai gelombang dugaan dan cubaan yang dihadapinya.

Kita sama-sama doakan agar anak-anak kita hampir dengan ALLAH sejak dari kecil lagi.

Wednesday, March 10, 2010

USAH MALU WAHAI ANAKKU

Kanak-kanak sudah menunjukkan tanda-tanda malu sejak berumur empat bulan lagi. Rasa malu itu secara semulajadi semakin berkembang selari dengan tumbesarannya. Telatah malu ini boleh dikesan bila dia bertemu dengan seseorang yang baru dikenali atau ketika dia menjadi tumpuan dan sebagainya. Kadang-kadang dia memalingkan muka, tersenyum simpul, menundukkan kepala atau menekup tangannya ke muka. Dalam situasi lain pula, kita perhatikan anak-anak ini petah dan ramah bila di rumah, namun senyap dan membisu bila didepan orang ramai. Semua ini adalah tanda-tanda perkembangan perasaan malu dalam diri anak-anak.

Sesetengah ibu bapa tidak menyedari hakikat perasaan malu yang mencengkam anak-anak ini, lantas tidak berusaha untuk mengatasinya. Hasilnya anak-anak itu menjadi pemalu tidak bertempat, tiada ketrampilan diri dan kurang keyakinan diri. Lebih malang lagi mereka menjadi pasif dan enggan bergaul dengan orang ramai. Sedangkan, sebagai seorang muslim dia seharusnya mempunyai keberanian dan keyakinan diri untuk berperanan membimbing dan memimpin masyarakat.

Malu itu iman

Tidak dinafikan bahawa malu itu adalah benteng yang dapat mengelakkan anak-anak dari melakukan maksiat. Bahkan perasaan malu dari melakukan maksiat itu adalah sebahagian dari iman.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: Malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Para sahabat menjawab: Kami memang malu kepada Allah, wahai Rasulullah, alhamdulillah. Baginda berbicara lagi: Bukan itu yang aku maksudkan. Malu kepada Allah dengan sebanar-benar malu ialah: engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, engkau memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan barangsiapa yang inginkan akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat dari dunia. Barangsiapa yang melakukan sedemikian barulah dikatakan dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.”

Malu yang dimaksudkan di atas ialah malu dari mengingkari perintah Allah dan malu dari melakukan kejahatan. Ini bermakna, perasaan malu yang memang ada dalam diri anak-anak itu perlu dipupuk agar dimanfaatkan untuk menjaga maruah diri, menjauhi maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah. Namun malu itu, di samping boleh menjadi perisai kejahatan, ia juga boleh menjadi penghalang kebaikan.

Biar bertempat

Ibu bapa berperanan untuk membimbing anak-anak menggunakan perasaan malu dengan betul. Pertamanya, mereka perlu tahu bahawa malu itu boleh membawa kebaikan dan keburukan. Mereka perlu diberitahu bahawa ada tika mereka perlu malu dan ada tika mereka perlu membuang perasan malu. Batas-batas syariat perlu diajar, agar mereka boleh tahu mana malu kerana Allah dan mana malu yang semata-mata datang dari perasan.

Setelah itu ibu bapa perlu berusaha untuk mengikis perasaan malu pada tempat dan suasana yang tidak perlu malu. Contohnya, malu untuk berinteraksi dengan tetamu, malu untuk bertanya soalan dalam kelas, malu untuk memberikan pendapat, malu untuk menjadi imam, malu untuk menyertai pertandingan dan sebagainya.

Ibu bapa boleh mengikis perasaan malu dengan mendedahkan anak-anak bergaul dengan orang ramai sama ada rakan sebaya atau dengan orang yang lebih dewasa. Mereka perlu dibiasakan dengan tatabudaya dan adab bicara dengan tetamu dan orang yang diziarahi. Galakkan dia berinterksi dengan berani dan bebas. Selain itu ibu bapa perlu mendorong anak-anak agar mengambil bahagian aktif di selolah, baik dalam kelas mahu pun dalam aktiviti ko-kurikulum. Galakkan mereka bertanya soalan kepada guru, memberikan pendapat serta terlibat aktif dalam aktiviti sekolah. Jika berpeluang doronglah mereka menyertai pertandingan atau persembahan supaya mereka menjadi berani dan tidak malu.

Kisah Ibnu Umar

Dalam Sahih Bukhari terdapat satu hadis yang mengisahkan Abdullah bin Umar ketika dia masih kanak-kanak. Dia meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berkata dihadapan sahabat-sahabat: Sesungguhnya ada di antara pohon-pohon, sebuah pohon yang tidak gugur daunnya, dan itulah umpama seorang muslim, maka nyatakan kepada ku apakah pokok itu? Para sahabat masing-masing menyangka pohon itu adalah pohon yang terdapat di pendalaman. Abdullah bin Umar berkata: Saya telah mengagak di dalam hati saya bahawa pohon itu adalah pohon kurma, namun saya malu untuk mengucapkannya. Lalu para sahabat berkata: Beritahulah kami apakah pohon itu ya Rasulullah!. Jawab Baginda: Itulah pohon kurma!.

Abdullah bin Umar berkata dalam riwayat lain: Saya melihat Abu Bakar dan Umar tidak mengatakan apa-apa, maka saya tidak ingin mengatakannya. Apabila pulang, saya memberitahu bapa saya (Umar Al-Khattab) tentang apa yang saya fikirkan dalam hati saya tadi. Lantas, bapaku menjawab: Andaikata engkau menjawab tadi, sesungguhnya itulah yang aku lebih sukai dari mendapat unta merah!.

Nah, lihatlah betapa Sayyidina Umar amat menggalakkan agar anaknya yang masih kecil ini untuk berani menyuarakan pendapatnya. Demikianlah dorongan seorang sahabat besar kepada anaknya agar menjadi berani dan tidak malu.

Si kecil yang petah

Terdapat satu kisah menarik pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menunjukkan kejayaan anak kecil mengikis perasaan malunya untuk berbicara di hadapan seorang pemimpin utama negara. Di awal pemerintahan Umar, satu rombongan dari Hijjaz telah datang untuk bertemu baginda. Rombongan itu menyerahkan tugas untuk bercakap mewakili mereka kepada seorang kanak-kanak yang belum sampai usia 11 tahun. Melihat hal itu, Khalifah Umar berkata kepadanya: Berundurlah engkau dulu, agar orang yang lebih dewasa tampil ke hadapan.

Maka berkatalah si anak kecil itu: Moga-moga Allah mengekalkanmu wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dihitung dengan dua anggota yang paling kecil baginya: iaitu hatinya dan lidahnya. Jika Allah sudah mengurniakan si hamba itu lidah yang petah, dan hati yang kuat ingatan, maka sudah tentu dia berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, andaikata semua perkara diukur dengan umur, nescaya ada orang lain yang lebih berhak daripada mu untuk jawatanmu ini!.

Akhirnya Khalifah Umar Abdul Aziz akur kerana sangat kagum dan terharu dengan kebolehan salah seorang rakyatnya yang masih kecil itu. Lantas dia bermadah:

Belajarlah, kerna tiada manusia lahirnya berilmu
Dan si alim itu tidak sama dengan si jahil dungu
Sesungguhnya pemimpin yang gersang ilmu itu,
Dipandang kecil bila dikelilingi mereka yang serba tahu.

Kisah di atas menggambarkan potensi yang ada pada anak kecil yang berjaya digarap dengan hilangnya perasaan malu. Sesungguhnya ia berlaku hasil didikan ibu bapa yang gigih melatih anak-anak supaya berani, berketrampilan dan tidak malu untuk melakukan perkara yang baik.

Kesimpulannya, ibu bapa yang mahukan anak-anaknya hebat, cemerlang dan memimpin masyarakat suatu hari nanti perlulah mendidik anak supaya tidak malu tak bertempat. Perasaan malu boleh dikikis dengan latihan dan pendedahan berterusan oleh ibu bapa. Usaha pendidikan begini penting bukan sahaja untuk kebaikan ibu bapa itu, bahkan juga untuk maslahah ummah yang memerlukan penggerak dan pemimpin ummah yang berkesedaran dan cemerlang.

Saturday, March 6, 2010

MENCARI KAWAN UNTUK ANAK

Sudahkan anda bertanya anak-anak, siapa kawan mereka di sekolah?

Jika belum, cepat-cepatlah bertanya. Dan, cuba ingat nama mereka. Bagaimana perangai mereka dan lain-lain. Sekali sekala tanya lah khabar tentang kawan-kawan mereka.

Tapi, jangan lupa untuk sentiasa ingatkan mereka agar mencari kawan yang baik.

Selain itu, ibu bapa juga boleh berikhtiar untuk mengaturkan anak-anak mencari kawan yang baik. Agar kawan itu datang dari keluarga yang baik dan berhemah, atau yang sama-sama meminati aktiviti yang murni dan sihat.

Berikut antara beberapa cara yang boleh dilakukan:
Rapatkan anak-anak dengan saudara mara atau sepupu-sepupunya yang mempunyai akhlak yang baik dengan membayakkan ziarah-menziarahi. Kadang-kadang anak-anak boleh ditinggalkan bermalam rumah saudara agar dia dapat berkawan dengan lebih rapat lagi. Cara ini dapat menjadikannya memilih kawan yang baik disamping boleh mengeratkan ikatan silaturrahim.
Perkenalkan dan rapatkan anak anda dengan anak kawan-kawan anda yang diketahui mempunyai akhlak yang baik. Aturkan program ziarah yang melibatkan aktiviti santai, agar mereka boleh bergaul dengan mesra. Jika ada program-program yang melibatkan keluarga seperi Hari Keluarga dan rehlah, ajaklah mereka agar mendekati antara satu sama lain. Galakkan mereka membuat ikatan susulan agar perkenalan itu berpanjangan.
Libatkan anak-anak dengan usrah, kelab dan persatuan keremajaan yang menganjurkan program-program yang Islamik dan menarik. Galakkan mereka terlibat secara aktif agar mereka bukan sahaja memperolehi kawan-kawan yang baik bahkan dapat memberi sumbangan kepada ummah serta boleh mengasah bakat kepimpinannya.

Galakkan anak anda menghadiri majlis-majlis ilmu dan menunaikan solat di masjid dan surau. Di sini mereka akan bertemu dengan kawan-kawan yang baik dan berakhlak.

berilah contoh teladan yg baik kepada anak kita, mari kita bersama-sama mendidik anak-anak kita./..

Wednesday, February 24, 2010

PERISTIWA DI BULAN RABIULAWAL

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. 

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama. 
Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan. 
Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah. 
Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw. 
Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H. 
Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Sunday, February 14, 2010

Hari Kekasih Merosakkan Akidah

SETIAP tahun pada tanggal 14 Februari, media massa akan mula mengiklankan sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih. Pelbagai acara dianjurkan manakala restoran, hotel, kedai bunga dan sebagainya akan mula mempromosi sambutan Hari Valentine di premis perniagaan mereka.

Dari manakah asal usulnya sambutan perayaan ini? Jika dicari di internet, kita akan menemui versi cerita yang berbeza-beza dan tidak dapat diketahui kisah sahih.

Namun, secara jelasnya kita dapat melihat Hari Valentine bukan daripada ajaran Islam, sebaliknya ia membawa unsur yang merosakkan akidah dan moral umat Islam, khususnya golongan muda.

Hari Valentine adalah budaya dan perayaan yang dikairkan dengan bukan Islam. Bahkan dalam sebahagian tulisan, dinyatakan ia bidaah yang direka dalam agama Kristian. Dalam sumber lain pula dinyatakan ia berasal daripada kaum Roman kuno dan ditiru oleh pengikut Kristian.

Asasnya di sini, perayaan itu adalah milik bukan Islam, bahkan boleh jadi ia bidaah yang direka dalam ajaran Kristian, sedangkan meniru identiti Ahlul Kitab dilarang, inikan pula meniru bidaah dalam agama mereka.

Dalil mengenai hal ini sangat banyak, antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Siapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.” (Hadis riayat Abu Daud Ahmad dan lain-lain. Shaikh al-Albani mensahihkannya dalam Sahih Abi Daud)

Rasulullah SAW sangat tegas untuk berbeza daripada identiti orang kafir, hatta dalam bab keduniaan sekalipun.

Shaikh al-Islam al-Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah menyebut wujud kesepakatan (ijmak) mengenai haram meniru orang kafir dalam perayaan mereka.

Tujuan perayaan ini untuk menyuburkan rasa cinta termasuk dengan bukan Islam. Ini jelas bertentangan dengan Islam. Allah SWT berfirman maksudnya: “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang yang menentang Allah dan Rasu-Nya, sekalipun orang itu bapa, anak, saudara atau keluarga mereka” (Al-Mujadilah 58:22)

Kata Ibn Taimiyyah Rahimahullah: “Allah menyatakan kepada kita tiada orang beriman yang akan mengambil orang kafir sebagai teman rapat mereka. Sesiapa yang mengambil orang kafir sebagai teman rapat bukan orang yang beriman. Meniru mereka adalah satu daripada bentuk cinta, maka ia adalah terlarang.” (Al-Iqtidha’ 1/490)

Cinta dipromosi melalui Hari Valentine adalah kepada bukan mahram. Ia antara jalan yang mendekatkan kepada zina. Kita dapat lihat bagaimana pada 14 Februari, pasangan bukan mahram asyik berdua-duaan, keluar bersama, merayakan di restoran dan hotel.

Semua ini dilakukan atas alasan menzahirkan rasa cinta, sedangkan perlakuan itu hanya layak dilakukan suami atau isteri kepada pasangannya yang halal, bukan kepada mereka yang bukan mahram.

Allah SWT jelas menerangkan kepada kita agar menjauhi hal yang mendekatkan kepada zina. Firmannya: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan yang buruk.” (Al Isra’ 17: 32)

Berdasarkan hujah yang dikemukakan di atas, ada beberapa kewajipan yang perlu dimainkan umat Islam dalam isu ini iaitu:

l Seorang Muslim tidak boleh menyambutnya atau menyertai orang lain dalam sambutan berkenaan sama ada dengan menghadiri atau membantu mereka yang menyambutnya.

Al-Imam Az-Zahabi menyebutkan: ‘Seandainya orang Kristian dan Yahudi mempunyai sesuatu perayaan yang dimiliki mereka, maka tidak boleh seorang Muslim menyertai mereka (di dalam sambutan itu), sebagaimana dia tidak menyertai mereka dalam agama atau arah kiblat solat.” (Tasyabbuh al-Khasis bi Ahl al-Khamis)

l Seorang Muslim tidak boleh membantu sama ada umat Islam atau bukan Islam yang menyambutnya. Ini termasuklah menyediakan tempat sambutan, mengiklankan, menjual barangan yang berkaitan seperti kad ucapan, kek dan lain-lain. Ini kerana ia termasuk di dalam membantu mereka melakukan kemungkaran.

Firman Allah SWT: “Bertolong-tolonglah kamu dalam melakukan kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah 5: 2)

l Seorang Muslim pelu mengingatkan saudara seagama mengenai larangan menyambut Hari Valentine.Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: ‘Sebagaimana kita tidak sepatutnya meniru mereka dalam sambutan perayaan, maka kita juga tidak sepatutnya membantu umat Islam yang lain menyambutnya, bahkan dia sepatutnya diperingatkan untuk tidak melakukannya.” (Al-Iqtidha 2/519-520)

Merayakan Hari Valentine adalah pengagungan ke atas lagenda cinta yang dikaitkan dengan hari berkenaan. Sudah jelas kepada kita latar belakang sejarahnya, walau daripada versi mana sekalipun, ia berasal orang bukan Islam. -B/H

Wednesday, January 27, 2010

TERTELAN GIGI PALSU KETIKA BERCUMBUAN

GEMAS: Kisahnya lucu, tetapi membawa pengajaran. Seorang Mat Rempit tertelan dua gigi palsu teman wanitanya ketika asyik bercumbu di sebuah pondok di ladang sawit di Felda Gugusan Palong, dekat Bahau, di sini.

Pasangan terbabit sebelum itu menghidu gam bersama sekumpulan Mat Rempit selepas berlegar-legar dengan menunggang motosikal bersama kekasih masing-masing di kawasan berhampiran kira-kira jam 10.45 malam, Rabu lalu.

Menurut sumber, dalam keadaan ‘lalok’, kumpulan Mat Rempit itu mula bercumbuan hingga seorang daripada mereka yang berusia 19 tahun secara tidak sengaja tertelan gigi palsu kekasihnya yang tercabut.

“Menyedari gigi palsunya tercabut, teman wanita Mat Rempit terbabit yang berusia 17 tahun panik lalu mencari-cari di sekeliling, tetapi gagal menemuinya.

“Ketika itu, Mat Rempit terbabit yang dalam keadaan khayal selepas menghidu gam memberitahu, dia tertelan gigi palsu itu,” katanya.

Katanya, pasangan itu bersama kumpulannya itu kemudian balik ke rumah masing-masing kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 pagi, Mat Rempit itu merasa perutnya tidak selesa.

Bimbangkan keadaan kesihatannya, dia mengambil keputusan mendapatkan bantuan di sebuah klinik di Bahau bagi mengeluarkan gigi palsu itu.

“Doktor yang memeriksanya memberitahu gigi palsu itu tidak dapat dikeluarkan lalu mengarahkan remaja itu pergi ke hospital untuk membuat imbasan X-ray,” katanya.

Sumber itu berkata, Mat Rempit berkenaan yang bimbang rahsianya diketahui umum pergi ke sebuah hospital swasta di Melaka untuk menjalani pemeriksaan X-ray kira-kira jam 11 pagi.

“Doktor yang merawat Mat Rempit itu mendapati gigi palsu terbabit masih berada dalam perutnya dan memberi sejenis ubat cecair bagi mengeluarkannya ketika membuang air besar.

“Kira-kira lima jam kemudian, dua gigi itu dapat dikeluarkan,” katanya.

Jumaat lalu, remaja terbabit dibenarkan pulang ke rumah sebelum menyerahkan dua gigi itu kepada teman wanitanya.

Gigi itu bagaimanapun dicampak gadis berkenaan kerana berasa geli.

Tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20080318095344/Article/index_html

Friday, January 15, 2010

Nabi Saw Mandi Bersama-Sama Isteri

Pernahkah anda mandi bersama-sama isteri anda? Kalau belum, anda patut mencubanya. Mandi bersama dengan saling jirus-menjirus serta gosok-menggosok dan sebagainya adalah amalan yang cukup bermakna dalam kehidupan suami isteri. Insyallah mandi bersama-sama ini dapat mengukuhkan lagi rasa kasih suami isteri. Amalan ini bukan petua yang datang dari orang zaman dulu, bukan juga saranan tokoh motivasi, tetapi ia adalah amalan Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam –manusia paling agung dan paling mulia di atas muka bumi ini.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ تَخْتَلِفُ أَيْدِينَا فِيهِ

Maksudnya;
“Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)” (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)

Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran romantik ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.

Tuesday, January 12, 2010

DUNIA ALAF BARU

Kurun ke 14 yang lepas menyaksikan kebangkitan golongan kebenaran, bangkit menentang kebatilan. Kebatilan yang juga tidak lekang daripada tiga unsur yang sama (kuasa, ilmu, dan harta) angkuh sengan penguasaan dunia, sombong sebagai gergasi dunia, bongkak dengan akal dan pengetahuan yang mereka miliki, mereka mula mencipta pelbagai idealogi dan fahaman sebagai pegangan. Kemudian dengan idealogi yang bertentangan dengan Islam inilah mereka mendakwa berjaya menguasai pentadbiran dan ekonomi dunia. Propaganda ini telah berjaya mempengaruhi pemimpin negara umat Islam disebabkan kelemahan iman. Lalu fahaman seperti komunis, sekularis, sosialis, pragmatis, nasionalis, dan seumpamanya mula berkembang biak di negara-negara umat Islam.
Pada awal abad ke 15 ini, kita menyaksikan kesedaran umat Islam yang memberansangkan, tuntutan pembebasan diri daripada cengkaman kuas kebatilan dan idealogi tersebut mula bergema, gerakan-gerakan Islam mula mendapat perhatian dunia, kemenangan gerakan Islam di Turki dan Algeria menunjukkan gerakan kebenaran mula mendapat tempat. Tuntutan pembebasan oleh Bosnia , Chechan , Khasmir, Albania, Palestin, dan seumpamanya daripada rejim kebatilan menunjukkan gerakan kebenaran sudah mula memanjangkan lankahnya. Idealogi komunis sudah mula melalui zaman kegelapan bermula dengan keruntuhan regim Najibullah di Afganistan dan keruntuhan tonggaknya di bekas Republik Soviet Union. Kekuatan nasionalis dan sosialis sudah mula tergugat begitu juga dengan lain-lain fahaman dan idealogi sudah mula menjengah zaman kehancuran dan keruntuhan. Kita yakin agenda “The New World Order” yang dicanangkan oleh pihak kebatilan dan apa bentuk sekalipun tidak akan dapat bertahan selagi mana gerakan kebenaran yang sedang melangkah maju ini terus disuburkan oleh pecinta dan pejuang kebenaran. Benar sekali firman Allah s.w.t

-Surah al-Ghafir ayat 5:-

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِنْ بَعْدِهِمْ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ(5)

“Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung - sesudah kaum Nabi Nuh itu - telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!”

-Surah al-a’raf ayat 118:-

فَوَقَعَ الْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ(118)
 
“Maka sabitlah kebenaran (mukjizat nabi musa) dan batallah (sihir) yang telah mereka lakukan”.

-Surah al-anfal ayat 8:-
لِيُحِقَّ الْحَقَّ وَيُبْطِلَ الْبَاطِلَ وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ(8)

“Supaya Allah s.w.t menegakkan yang benar itu dan menghapuskan kebatilan (kufur dan syirik) sekalipun golongan (kafir, musyrik) tidak menyukainya”.

-Surah al-isra’ ayat 81:-

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا(81)

“Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".