Powered by Blogger.

Friday, August 8, 2014

PUASA ENAM HARI DI BULAN SYAWAL

Dalam usaha menambah pahala dan meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, digalakkan bersegera melaksanakan puasa enam hari selepas Aidilfitri, yang dikenali sebagai ‘Puasa Enam’.
Ibadat puasa perlu dilakukan sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh untuk taqarrub kepada Allah SWT, demi menundukkan hawa nafsu dan membersihkan diri. Sabda Rasulullah SAW :
“Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruk-nya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.”(Riwayat Imam Bukhari)
FADILAT PUASA ENAM
Ibadat puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan yang boleh diperolehi umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakannya. Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.”(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:
  1. Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
  2. Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
  3. Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
  4. Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
  5. Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.

PAHALA SETAHUN PUASA
Pahala puasa Ramadhan yang diamalkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda:
“Puasa sebulan di bulan Ramadhan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan. Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Manakala di dalam kitab Sabila al-Muhtadin pula, dinyatakan; puasa 30 hari pada bulan Ramadhan ganjarannya sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula ganjarannya sama dengan 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari, bersamaan dengan setahun (kalendar Qamari). Maka seolah-olah kita telah berpuasa sepanjang tahun hingga Ramadhaan tahun depan.
CARA PUASA ENAM
Puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari, di sepanjang bulan Syawal sama ada secara berterusan atau berselang-seli:
1. Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai Aidilfitri kedua (2 Syawal) hingga 7 Syawal.
2. Berpuasa secara berselang-seli, iaitu puasa sama ada selang sehari, dua atau tiga hari sekali, sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.
dipetik darpada http://myibrah.com/fadhilat-berpuasa-6-syawal