Powered by Blogger.

Thursday, March 25, 2010

DIDIK ANAK KENAL ALLAH

Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan ‘Allah” dan “Lailaha illa Allah”, para ibu dan bapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuh iman dan keyakinan anak itu kepada Allah. Anak yang masih baru mengenal dunia itu amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan.

Oleh kerana maklumat yang tersimpan dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibu dan bapa, mudah sahaja ditelan bulat-bulat. Oleh itu, tempoh inilah saat yang paling sesuai untuk memulakan ‘pengajian’ aqidah kepada anak-anak.

Jangan fikir anak-anak anda tidak mampu memahami soal akidah ini. Walau pun aqidah ini perkara abstrak—tidak boleh dilihat dan ditunjukkan melalui pancaindera—namun jika kena cara penceritaannya, anak-anak boleh memahaminya dengan mudah.

Usah dedahkan dahulu soal-soal falsafal yang terhimpun dalam kitab-kitab tauhid yang tebal-tebal itu. Cukuplah dengan mengaitkan iman kepada Allah itu dengan benda-benda yang dilalui dan dirasai oleh anak-anak itu seperti makanan, pokok-pokok, anggota badannya, dan seumpamanya.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, sejak anak itu mula mumayyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya ini tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.

Bahkan mengenali Allah ini tidak sukar untuk dilakukan dengan memulakan pada anggota badan sendiri. Misalnya, minta anak itu meletakkan telinga ke atas dada ibu atau ayah untuk merasai degupan jantung. Kemudian minta dia merasai jantungnya sendiri dengan tangan. Jelaskan bahawa jantung itu telah bergerak sejak dari dalam perut hingga mati. Jelaskan juga bahawa manusia tidak mampu untuk menggerakkannya jika tanpa kekuasaan Allah. Jika Allah mahu matikan seseorang, Allah boleh hentikan sahaja jantungnya.

Kemudian, ibu bapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna.

Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah tanda kasih Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati agar semakin dekat dirinya dengan Allah. Jika menonton, terjumpa atau bercerita tentang dengan mereka yang cacat, miskin, atau melarat, janganlah lupa untuk mengingatkan anak agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.

Fahamkan kepada mereka bahawa Allah kadang-kadang menjadikan manusia dan makhluk lain dengan beberapa kekurangan supaya manusia lain dapat bersyukur dengan kesempurnaan serta nikmat yang diberikan.

Setiap kali mengadap makanan, ibu bapa perlu sentiasa menyebut bahawa rezeki itu dari Allah. Jelaskan bahawa, walau pun makanan atau bahannya itu mungkin dibeli, namun hakikatnya ia datang dari Allah melalui pintu-pintu rezeki seperti kepandaian, kebolehan, pekerjaan yang baik dan gaji yang memuaskan.

Bandingkan dengan orang lain yang susah dan tidak ada makanan untuk dijadikan santapan. Cara ini insyaallah mampu meningkatkan keyakinan tentang sifat Allah Yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Selain itu jangan lupa untuk meminta anak-anak agar mendalami rasa sayang dan kasih kepada Allah sebagaimana Allah mengasihi mereka.

Bila berkelapangan, bawa anak-anak beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok bermain, jangan lupa untuk sebutkan tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam yang sangat cantik. Sebutkan tentang kerdilnya manusia yang tak mampu untuk membuat makhluk seumpamanya walau pun sebesar semut. Kaitkan juga dengan hakikat bahawa makhluk-makhlik Allah itu termasuk pohon-pohon, batu, air, binatang dan tanah sentiasa berzikir kepada Allah dengan bunyi yang tidak didengari atau dalam bahasa yang difahami manusia.

Kemudian, paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Meneliti dan Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa yang sedang manusia lakukan.

Pendekatan ini amat penting untuk melahirkan sifat ihsan dalam diri anak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW tentang ihsan iaitu:

“Agar kamu menyembah Allah seolah-oleh engkau sedang melihatNya. Andaikata engkau tidak mampu melihatnya, maka yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau”.

Sifat ihsan ini adalah teras dalam mengukuhkan aqidah anak-anak. Imam Al-Ghazali membawa satu kisah Sahel bin Abdullah Al-Tustari dalam kitab Ihya Ulumiddin.

Sahel berkata: Ketika aku berusia tiga tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku, Muhammad bin Siwar. Pada suatu hari, dia berkata kepada ku: Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikan engkau? Aku menjawab: Bagaimana aku berzikir kepadaNya? Muhammad bin Siwar menjawab: Sebutkan dalam hati mu ketika engkau berbalik-balik di tempat tidur tiga kali, tanpa engkau menggerakkan lidah mu: “Allahu ma’ani, Allah naazirun ilayya, Allah syaahidi” (Allah ada bersama-sama ku, Allah melihat kepadaku, Allah memerhatikanku).

Renungilah bagaimana Rasulullah mentarbiyah seorang anak kecil iaitu Abdullah bin Abbas r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi. Abdullah mengatakan bahawa:

“Pada satu hari aku menunggang bersama di belakang Nabi SAW. Lantas, Baginda bersabda: Wahai anak kecil! Aku akan mengajarimu beberapa pedoman: Peliharalah Allah, niscaya Dia akan memelihara mu. Peliharalah Allah nescaya Dia akan berada hampir denganmu. Jika kamu mahu meminta, maka mintalah daripada Allah. Jika kamu mahu mendapatkan pertolongan, dapatkanlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan ketetapan dari Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu melakukannya, melainkan dengan ketetapan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering.”

Demikianlah contoh unggul tarbiyah rabbaniyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Paparan ini membuktikan bahawa pendidikan untuk memastikan anak-anak mengenal Allah amat penting untuk dimulakan sejak dari kanak-kanak. Dengan kesungguhan ibu bapa menerapkan aqidah yang sahih ini insyaallah dapat menjadikan anak-anak tegus mempertahankan aqidah walau pelbagai gelombang dugaan dan cubaan yang dihadapinya.

Kita sama-sama doakan agar anak-anak kita hampir dengan ALLAH sejak dari kecil lagi.

Wednesday, March 10, 2010

USAH MALU WAHAI ANAKKU

Kanak-kanak sudah menunjukkan tanda-tanda malu sejak berumur empat bulan lagi. Rasa malu itu secara semulajadi semakin berkembang selari dengan tumbesarannya. Telatah malu ini boleh dikesan bila dia bertemu dengan seseorang yang baru dikenali atau ketika dia menjadi tumpuan dan sebagainya. Kadang-kadang dia memalingkan muka, tersenyum simpul, menundukkan kepala atau menekup tangannya ke muka. Dalam situasi lain pula, kita perhatikan anak-anak ini petah dan ramah bila di rumah, namun senyap dan membisu bila didepan orang ramai. Semua ini adalah tanda-tanda perkembangan perasaan malu dalam diri anak-anak.

Sesetengah ibu bapa tidak menyedari hakikat perasaan malu yang mencengkam anak-anak ini, lantas tidak berusaha untuk mengatasinya. Hasilnya anak-anak itu menjadi pemalu tidak bertempat, tiada ketrampilan diri dan kurang keyakinan diri. Lebih malang lagi mereka menjadi pasif dan enggan bergaul dengan orang ramai. Sedangkan, sebagai seorang muslim dia seharusnya mempunyai keberanian dan keyakinan diri untuk berperanan membimbing dan memimpin masyarakat.

Malu itu iman

Tidak dinafikan bahawa malu itu adalah benteng yang dapat mengelakkan anak-anak dari melakukan maksiat. Bahkan perasaan malu dari melakukan maksiat itu adalah sebahagian dari iman.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: Malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Para sahabat menjawab: Kami memang malu kepada Allah, wahai Rasulullah, alhamdulillah. Baginda berbicara lagi: Bukan itu yang aku maksudkan. Malu kepada Allah dengan sebanar-benar malu ialah: engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, engkau memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan barangsiapa yang inginkan akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat dari dunia. Barangsiapa yang melakukan sedemikian barulah dikatakan dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.”

Malu yang dimaksudkan di atas ialah malu dari mengingkari perintah Allah dan malu dari melakukan kejahatan. Ini bermakna, perasaan malu yang memang ada dalam diri anak-anak itu perlu dipupuk agar dimanfaatkan untuk menjaga maruah diri, menjauhi maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah. Namun malu itu, di samping boleh menjadi perisai kejahatan, ia juga boleh menjadi penghalang kebaikan.

Biar bertempat

Ibu bapa berperanan untuk membimbing anak-anak menggunakan perasaan malu dengan betul. Pertamanya, mereka perlu tahu bahawa malu itu boleh membawa kebaikan dan keburukan. Mereka perlu diberitahu bahawa ada tika mereka perlu malu dan ada tika mereka perlu membuang perasan malu. Batas-batas syariat perlu diajar, agar mereka boleh tahu mana malu kerana Allah dan mana malu yang semata-mata datang dari perasan.

Setelah itu ibu bapa perlu berusaha untuk mengikis perasaan malu pada tempat dan suasana yang tidak perlu malu. Contohnya, malu untuk berinteraksi dengan tetamu, malu untuk bertanya soalan dalam kelas, malu untuk memberikan pendapat, malu untuk menjadi imam, malu untuk menyertai pertandingan dan sebagainya.

Ibu bapa boleh mengikis perasaan malu dengan mendedahkan anak-anak bergaul dengan orang ramai sama ada rakan sebaya atau dengan orang yang lebih dewasa. Mereka perlu dibiasakan dengan tatabudaya dan adab bicara dengan tetamu dan orang yang diziarahi. Galakkan dia berinterksi dengan berani dan bebas. Selain itu ibu bapa perlu mendorong anak-anak agar mengambil bahagian aktif di selolah, baik dalam kelas mahu pun dalam aktiviti ko-kurikulum. Galakkan mereka bertanya soalan kepada guru, memberikan pendapat serta terlibat aktif dalam aktiviti sekolah. Jika berpeluang doronglah mereka menyertai pertandingan atau persembahan supaya mereka menjadi berani dan tidak malu.

Kisah Ibnu Umar

Dalam Sahih Bukhari terdapat satu hadis yang mengisahkan Abdullah bin Umar ketika dia masih kanak-kanak. Dia meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berkata dihadapan sahabat-sahabat: Sesungguhnya ada di antara pohon-pohon, sebuah pohon yang tidak gugur daunnya, dan itulah umpama seorang muslim, maka nyatakan kepada ku apakah pokok itu? Para sahabat masing-masing menyangka pohon itu adalah pohon yang terdapat di pendalaman. Abdullah bin Umar berkata: Saya telah mengagak di dalam hati saya bahawa pohon itu adalah pohon kurma, namun saya malu untuk mengucapkannya. Lalu para sahabat berkata: Beritahulah kami apakah pohon itu ya Rasulullah!. Jawab Baginda: Itulah pohon kurma!.

Abdullah bin Umar berkata dalam riwayat lain: Saya melihat Abu Bakar dan Umar tidak mengatakan apa-apa, maka saya tidak ingin mengatakannya. Apabila pulang, saya memberitahu bapa saya (Umar Al-Khattab) tentang apa yang saya fikirkan dalam hati saya tadi. Lantas, bapaku menjawab: Andaikata engkau menjawab tadi, sesungguhnya itulah yang aku lebih sukai dari mendapat unta merah!.

Nah, lihatlah betapa Sayyidina Umar amat menggalakkan agar anaknya yang masih kecil ini untuk berani menyuarakan pendapatnya. Demikianlah dorongan seorang sahabat besar kepada anaknya agar menjadi berani dan tidak malu.

Si kecil yang petah

Terdapat satu kisah menarik pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menunjukkan kejayaan anak kecil mengikis perasaan malunya untuk berbicara di hadapan seorang pemimpin utama negara. Di awal pemerintahan Umar, satu rombongan dari Hijjaz telah datang untuk bertemu baginda. Rombongan itu menyerahkan tugas untuk bercakap mewakili mereka kepada seorang kanak-kanak yang belum sampai usia 11 tahun. Melihat hal itu, Khalifah Umar berkata kepadanya: Berundurlah engkau dulu, agar orang yang lebih dewasa tampil ke hadapan.

Maka berkatalah si anak kecil itu: Moga-moga Allah mengekalkanmu wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dihitung dengan dua anggota yang paling kecil baginya: iaitu hatinya dan lidahnya. Jika Allah sudah mengurniakan si hamba itu lidah yang petah, dan hati yang kuat ingatan, maka sudah tentu dia berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, andaikata semua perkara diukur dengan umur, nescaya ada orang lain yang lebih berhak daripada mu untuk jawatanmu ini!.

Akhirnya Khalifah Umar Abdul Aziz akur kerana sangat kagum dan terharu dengan kebolehan salah seorang rakyatnya yang masih kecil itu. Lantas dia bermadah:

Belajarlah, kerna tiada manusia lahirnya berilmu
Dan si alim itu tidak sama dengan si jahil dungu
Sesungguhnya pemimpin yang gersang ilmu itu,
Dipandang kecil bila dikelilingi mereka yang serba tahu.

Kisah di atas menggambarkan potensi yang ada pada anak kecil yang berjaya digarap dengan hilangnya perasaan malu. Sesungguhnya ia berlaku hasil didikan ibu bapa yang gigih melatih anak-anak supaya berani, berketrampilan dan tidak malu untuk melakukan perkara yang baik.

Kesimpulannya, ibu bapa yang mahukan anak-anaknya hebat, cemerlang dan memimpin masyarakat suatu hari nanti perlulah mendidik anak supaya tidak malu tak bertempat. Perasaan malu boleh dikikis dengan latihan dan pendedahan berterusan oleh ibu bapa. Usaha pendidikan begini penting bukan sahaja untuk kebaikan ibu bapa itu, bahkan juga untuk maslahah ummah yang memerlukan penggerak dan pemimpin ummah yang berkesedaran dan cemerlang.

Saturday, March 6, 2010

MENCARI KAWAN UNTUK ANAK

Sudahkan anda bertanya anak-anak, siapa kawan mereka di sekolah?

Jika belum, cepat-cepatlah bertanya. Dan, cuba ingat nama mereka. Bagaimana perangai mereka dan lain-lain. Sekali sekala tanya lah khabar tentang kawan-kawan mereka.

Tapi, jangan lupa untuk sentiasa ingatkan mereka agar mencari kawan yang baik.

Selain itu, ibu bapa juga boleh berikhtiar untuk mengaturkan anak-anak mencari kawan yang baik. Agar kawan itu datang dari keluarga yang baik dan berhemah, atau yang sama-sama meminati aktiviti yang murni dan sihat.

Berikut antara beberapa cara yang boleh dilakukan:
Rapatkan anak-anak dengan saudara mara atau sepupu-sepupunya yang mempunyai akhlak yang baik dengan membayakkan ziarah-menziarahi. Kadang-kadang anak-anak boleh ditinggalkan bermalam rumah saudara agar dia dapat berkawan dengan lebih rapat lagi. Cara ini dapat menjadikannya memilih kawan yang baik disamping boleh mengeratkan ikatan silaturrahim.
Perkenalkan dan rapatkan anak anda dengan anak kawan-kawan anda yang diketahui mempunyai akhlak yang baik. Aturkan program ziarah yang melibatkan aktiviti santai, agar mereka boleh bergaul dengan mesra. Jika ada program-program yang melibatkan keluarga seperi Hari Keluarga dan rehlah, ajaklah mereka agar mendekati antara satu sama lain. Galakkan mereka membuat ikatan susulan agar perkenalan itu berpanjangan.
Libatkan anak-anak dengan usrah, kelab dan persatuan keremajaan yang menganjurkan program-program yang Islamik dan menarik. Galakkan mereka terlibat secara aktif agar mereka bukan sahaja memperolehi kawan-kawan yang baik bahkan dapat memberi sumbangan kepada ummah serta boleh mengasah bakat kepimpinannya.

Galakkan anak anda menghadiri majlis-majlis ilmu dan menunaikan solat di masjid dan surau. Di sini mereka akan bertemu dengan kawan-kawan yang baik dan berakhlak.

berilah contoh teladan yg baik kepada anak kita, mari kita bersama-sama mendidik anak-anak kita./..