Powered by Blogger.

Wednesday, August 30, 2017

Perkataan Wahyu dalam Ayat-Ayat Makkiyah

Sebelum menjelaskan ayat-ayat al-quran berkenaan dengan wahyu terhadap Nabi SAW adalah baiknya diterangkan sedikit tentang pengertian Makkiyah dan penjelasan beberapa konsep yang berkaitan dengan makkiyah. Menurut Dr Anis Tolhah (2009), ayat-ayat al-Quran Makkiyah ialah ayat-ayat al-quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW semasa berada di Mekkah. Manakala ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Madinah dinamakan Madaniyyah. Para sarjana Al-Quran khususnya berselisih pendapat mengenai pentakrifan yang sesuai dan tepat terhadap ayat surah Makkiyah dan Madaniyyah ini kerana Nabi SAW tidak meletakkan ketentuan sesuatu ayat Al-Quran diturunkan bersandarkan Makkiyah dan Madaniyyah. Sebenarnya Nabi SAW tidak pernah menjelaskan mengenai ayat-ayat Makki dan Madani semasa hayat Baginda. Penjelasan mengenai ayat-ayat Makki dan Madani dibuat oleh para Sahabat dan Tabi’in. Hal tersebut kerana tidak ada keperluan kepada Nabi menjelaskan dan tidak menyatakan mengenai persoalan itu semasa hayat Baginda. Antara faktor yang ketara ialah kerana umat Islam pada masa hayat Nabi tidak perlu kepada penjelasan dan pembahagian Makki, Madani, tempat, masa dan sebab wahyu diturunkan oleh Allah. Di mana para sahabat menyaksikan sendiri wahyu diturunkan kepada Baginda.

3.1 CONTOH AYAT-AYAT MAKKIYAH MENGENAI WAHYU

Menurut Ahmad Kamruddin, Ismail Mat Ludin dan Khairil Ahmad, (2011) perkataan wahyu berasal daripada perkataan Arab yang berbentuk masdar atau nama terbitan. Di dalam Al-Quran ia terdapat di 32 surah yang disebut sebanyak 68 kali yang terdapat dalam surah-surah sama ada Makki atau Madani. Memadai dalam tugasan ini saya cuba menjelaskan beberapa contoh ayat-ayat Al-Quran Makkiyah berkaitan wahyu dan penjelasan disekitar konsep ayat tesebut.

1. Surah al-Qasas ayat : 7
وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ
Ertinya:
“Dan Kami wahyukan (ilhamkan) kepada ibu Musa: “Susukanlah dia”
Dalam ayat ini menerangkan tentang wahyu kepada ibu Nabi Musa AS. Wahyu yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah Ilham Fitrah yang diberi oleh Allah SWT kepada manusia biasa. Sebagaimana yang berlaku dalam kisah ibu Nabi Musa AS yang diwahyukan oleh Allah untuk menyusukan anaknya. Maka dapat difahami menurut ayat ini perkataan wahyu membawa maksud yang berbeza-beza sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah sesuai dengan sebab ayat tersebut.


2. Surah an-Nahl ayat : 68

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون
Ertinya:
“Dan Tuhanmu telah mewahyukan (memberi ilham) kepada lebah, “Buatlah sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di rumah-rumah yang didirikan manusia”
Dalam ayat ini Allah telah membahaskan lebah itu dengan diberi wahyu. Wahyu yang dimaksudkan di sini ialah berbentuk Ilham gharizi kepada haiwan. Wahyu dalam ayat ini bukan wahyu seperti yang diberikan kepada para nabi. Menurut Rashid Rida, jika diturunkan kepada makhluk yang tidak berakal dinamakan taskhir atau arahan. Maka lebah tersebut telah diarahkan oleh Allah supaya membuat sesuatu yang hendak dikerjakannya.

3. Surah Maryam ayat : 11

فَخَرَجَ عَلَى قوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ أَنْ سبِّحُوا بكُرَةً وَعَشِيًّا
Ertinya:
Maka keluarlah dia dari mihrab, lalu memberi isyarat kepada mereka, “Hendaklah kamu bertasbih pada waktu pagi dan petang”.
Ayat ini menerangkan wahyu yang berbentuk Isyarat pantas melalui rumus dan kod, seperti isyarat Nabi Zakaria AS kepada kaumnya yang mengarahkan mereka supaya bertasbih kepada Allah SWT pada waktu pagi dan petang

4. Surah al-An’am ayat : 121
وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أوَلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ
            Maksudnya:
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka membantah kamu.

Dalam ayat ini wahyu yang dimaksudkan ialah bisikan dan godaan syaitan terhadap manusia dengan menjadikan perkara yang buruk kelihatan indah. Sebab diturunkan ayat ini Allah menegah orang-orang mukmin daripada memakan bangkai binatang yang mati tidak disembelih atau memakan binatang yang disembelih atas nama berhala, sesungguhnya pelanggaran terhadap larangan ini dikira satu kejahatan dan maksiat, (Rashid Rida). Difahami dari konsep wahyu dalam ayat tersebut merupakan bisikan syaitan kepada pengikut-pengikutnya di kalangan manusia yang tidak beriman mengingkari perintah Allah SWT.

5. Surah Hud ayat : 36
وَأُوحِيَ إِلَى نُوحٍ أَنَّهُ لَنْ يُؤْمِنَ مِنْ قَوْمِكَ إِلا مَنْ قَدْ آمَنَ فَلا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
            Maksudnya:
Dan diwahyukan kepada Nuh bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman di antara kaummu kecuali orang-orang yang telah beriman sahaja. Kerana itu janganlah kamu bersedih hati dengan apa yang telah mereka kerjakan.

6. Surah Al-Mu’minun ayat : 27
 فَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ أَنِ اصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ فَاسْلُكْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ مِنْهُمْ وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ
Maksudnya:
Lalu kami wahyukan kepadanya: buatlah kapal di bawah pengawasan dan petunjuk kami. Maka apabila perintah kami datang dan tannur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam kapal itu sepasang-pasang daripada setiap jenis haiwan, juga keluargamu, kecuali orang yang terlebih dahulu ditetapkan di antara mereka. Dan janganlah engkau bertanya kepadaku tentang orang yang zalim sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.

7. Surah Yusof ayat : 15

فَلَمَّا ذَهَبُوا بِهِ وَأَجْمَعُوا أَنْ يَجْعَلُوهُ فِي غَيَابَةِ الْجُبِّ وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُمْ بِأَمْرِهِمْ هَذَا وَهُمْ لا يَشْعُرُونَ
Dalam ayat ini Allah menurunkan wahyu yang berupa ilham  kepada Nabi Yusof sewaktu beliau keseorangan dicampakkan ke dalam perigi dan pada ketika itu beliau belum diangkat sebagai rasul. Wahyu yang diturunkan kepada Nabi Yusuf merupakan hiburan kepadanya untuk meringankan perasaan yang duka serta sebagai penetapan kepada hatinya, (Rashid Rida). Maka perkataan wahyu juga merujuk kepada ilham yang diturunkan kepada seseorang yang belum dilantik menjadi Nabi sebagaimana dalam kisah Nabi Yusof AS.

8. Surah Fussilat ayat: 12

فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ فِي يَوْمَيْنِ وَأَوْحَى فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَحِفْظًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ
Maka dia telah menjadikannya tujuh langit dalam dua hari dan dia telah mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya.
Dalam ayat ini Allah memerintahkan wahyu kepada langit agar patuh dan tetap dengan tugas-tugas yang ditetapkan oleh Allah SWT terhadap langit.
Berdasarkan contoh-contoh ayat makkiyah yang diberikan tersebut dapat dianalisa bahawa terdapat pembahagian konsep wahyu sebagaimana difahami dalam al-Quran. Antaranya ialah wahyu untuk nabi sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Hud ayat 36 dan surah al-mukminun ayat 27 yang memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membina sebuah bahtera dan sebagai menghiburkan hati Nabi Nuh agar tidak sedih dengan sikap isteri dan anaknya serta beberapa pengikutnya yang ingkar dan tidak mematuhi perintah yang disampaikan kepada mereka. Demikian juga kisah Nabi Musa dalam surah Taha ayat 77 dan surah Yusuf ayat 15 agar berani dalam menghadapi kemungkaran yang dilakukan oleh Firaun serta menyelamatkan Bani Israil dari tindakan zalim Firaun. Wahyu sebagaimana yang difahami dari Al-Quran membawa maksud yang berbeza mengikut keadaan sebab-sebab ayat tersebut diturunkan. Contohnya Allah memberi wahyu kepada ibu Musa untuk menyusukan anaknya, wahyu yang dimaksudkan ialah ilham kepada ibu Musa. Seperti juga Allah mewahyukan kepada langit yang memerintahkan agar langit patuh dengan tugasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Demikian juga Allah mewahyukan kepada lebah bermaksud sebagai isyarat membuat rumah di tempat-tempat yang tinggi. Terdapat juga konsep wahyu dengan perantara atau di belakang tabir sebagaimana yang difahami daripada surah Assyuara ayat 51  di mana Allah SWT mengutuskan malaikat Jibril AS untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam ayat surah al-an’am wahyu yang dimaksudkan ialah was-was daripada syaitan ini bermaksud bahawa syaitan itu merupakan musuh manusia dan juga merupakan penggoda bagi manusia. Dapat disimpulkan di sini menurut Dr. Anis Malik Thoha, (2009) secara umum apa yang ditulis oleh para penyusun kamus bahasa Arab bahwa erti wahyu ini berkisar sekitar pengertian al-isharah, al-sare'ah (isyarat yang cepat), al-kitabah (tulisan), al-maktub (tertulis), al-risalah (pesan), al-ilham (ilham), al-ainul al-khafi (pemberitahuan yang bersifat tertutup dan tidak diketahui pihak lain), al-kalam al-khafi al-sari (pembicaraan yang bersifat tertutup dan tidak diketahui pihak lain dan cepat). Pengertian ini adalah didasarkan pada teks-teks dasar bahasa Arab, terutama al-Qur’an dan ḥadīth.
Adapun wahyu yang berbentuk ajaran atau bimbingan khusus diturunkan kepada para Rasul untuk disampaikan kepada umat manusia berbeza pengertian dan cara penurunannya.Terdapat tiga cara penurunan wahyu seperti yang dapat difahami daripada ayat-ayat dalam Al-Quran iaitu pertama melalui jantung hati seseorang dalam bentuk ilham. Cara yang kedua melalui belakang tabir sebagaimana yang terjadi kepada Nabi Musa dan ketiga ialah melalui utusan yang dikirimkan dalam bentuk malaikat contohnya seperti Allah mengutuskan malaikat Jibril AS dan malaikat lain menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada para Nabi lain. Maka dapat difahami disini wahyu merupakan rahsia diantara yang memberinya dengan yang menerimanya. Adapun dalam  proses penerimaan wahyu tersebut ianya juga bersifat sangat rahsia. Dengan demikian, maka wahyu menurut Ibnu al-Qayyim telah menyebut peringkat-peringkat wahyu:
                                i.            Pertama: Mimpi benar, ianya adalah permulaan wahyu kepada Rasulullah.
                              ii.            Kedua: Sesuatu yang dicampakkan oleh Malaikat ke dalam dadanya dan hati naluri Rasulullah tanpa melihatnya, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW Sesungguhnya Jibril telah mencampak ke dalam hatiku bahawa: Sesuatu jiwa itu tidak akan mati kecuali setelah genap rezekinya, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan berusahalah dengan baik di dalam usaha mencari rezeki, dan jangan sekali-kali dek kelewatan rezeki itu ianya mendesak kamu berusaha secara memaksiati Allah, kerana sesungguhnya sesuatu di sisi Allah itu tidak boleh diperolehi kecuali dengan mentaatinya.
                            iii.            Ketiga: Rasulullah didatangi Jibril yang menjelmakan dirinya sebagai seorang lelaki, dan berbicara dengan Baginda di mana Rasulullah menyedari dan mengingati segala apa yang diperkatakan kepadanya, di dalam peringkat ini para sahabat pun turut dapat melihat Jibril pada ketika itu tanpa menyedari yang hadir ialah Malaikat Jibril AS.
                            iv.            Keempat: Rasulullah didatangi melalui bunyian seperti deringan loceng, cara ini yang paling berat bagi Rasulullah SAW untuk menerimanya, melaluinya Jibril turut menyertainya, hinggakan dahi Baginda mencucur keringat walaupun di hari yang terlalu dingin, malah tunggangannya sekali turut bersimpuh ke bumi. Di suatu ketika wahyu dalam bentuk ini turun kepada Rasulullah SAW sedang pahanya di atas paha Zaid bin Thabit, Zaid terasa berat bagaikan nak pecah.
                              v.            Kelima: Baginda melihat malaikat Jibril dalam bentuk parasnya yang sebenar, lalu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah, cara ini terjadi kepada Baginda dua kali, seperti mana Allah menyebutnya di dalam surah al-Najm.
                            vi.            Keenam: Tanpa hijab: sebagaimana yang diwahyukan kepada Baginda semasa Baginda bertemu dengan Allah SWT di malam Mikraj dan menerima perintah solat dan sebagainya.
                          vii.            Ketujuh: Percakapan Allah secara langsung kepadanya tanpa perantaraan Malaikat seperti mana Allah berbicara dengan Musa bin Imran, jenis ini sabit kepada Musa a.s di dalam al-Quran, juga sabit kepada Rasulullah di dalam peristiwa al-Isra’.

Sesetengah ulama menambahkan peringkat kelapan iaitu percakapan Allah bersemuka dengan rasulnya tanpa hijab, ini adalah masalah khilafiah di antara salaf dan khalaf.