Powered by Blogger.

Wednesday, August 20, 2014

BENTUK-BENTUK SERANGAN PEMIKIRAN TERHADAP UMAT ISLAM

 PENGENALAN

Pada era moden ini umat Islam sering berdepan dengan pelbagai cabaran yang melanda. Cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani sebaiknya agar tidak menjadi barah di kalangan umat Islam. Sesungguhnya kedatangan Islam ke dunia telah memberikan satu kesan yang amat besar sekali sehingga berjaya menolak corak hidup jahiliyyah dan memberi harapan baru masyarakat Arab dari zaman gelap ke zaman menghormati norma-norma kehidupan bermasyarakat. Agama Islam berkembang dengan cepat sehingga dapat menguasai al-Jazirah dan beberapa wilayah lain di Sham, Mesir, Afrika Utara dan Iraq. Pada zaman permulaan Islam iaitu ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup, Segala persoalan yang timbul terus dirujuk kepada baginda manakala generasi selepas baginda juga dijamin sebagai generasi terbaik. Pada ketika itu, soal pemikiran Islam yang timbul boleh dijawab dengan baik kerana umat Islam hampir dengan sumber utama. Pada zaman moden ini, Islam berhadapan dengan serangan pemikiran dalam bentuk yang berbeza dan sangat mencabar. Anita M. Weiss (1994) menyatakan bahawa Islam di zaman moden ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, samada luaran mahupun dalaman. Selain itu, terdapat pula pelbagai bentuk serangan oleh musuh-musuh islam termasuklah dalam bentuk serangan pemikiran.
Oleh itu fokus penulisan ini bertujuan untuk menjelaskan sasaran dan bentuk-bentuk serangan pemikiran yang direncanakan oleh musuh-musuh Islam. Mengenal pasti tiga contoh aliran pemikiran semasa yang kelihatan sedang menyerang pemikiran umat Islam pada hari ini, kaedah-kaedah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam  bagi menjayakan agenda serangan pemikiran  mereka. Seterusnya mengenal pasti medium-medium yang digunakan oleh mereka dalam merealisasikan misi dan visi mereka pada masa kini. Disamping mengenalpasti langkah-langkah kawalan yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi menghalang perkembangan serangan pemikiran daripada terus membelenggu pemikiran umat islam masa hari ini.
   
SASARAN SERANGAN PEMIKIRAN YANG DIRENCANAKAN OLEH MUSUH-MUSUH ISLAM

     Serangan pemikiran merupakan salah satu bentuk serangan psikologi bersifat halus yang tidak melibatkan tindakan berbentuk fizikal atau ketenteraan. Serangan pemikiran ini dilakukan oleh musuh-musuh Islam dalam menghapuskan mazahir kehidupan islam dan pegangan umat islam daripada syariat dan akidah sebenar yang berlandaskan al-Quran, al-Hadis serta segala perkara yang dibawa oleh para Salafus Soleh. Serangan pemikiran ini merupakan teknik propaganda yang dilakukan ke atas kebudayaan dan cara hidup umat islam secara halus dan nyata. Serangan ini diterapkan dengan cukup ilmiah agar cara hidup islam yang berpaksikan ajaran sebenar berubah mengikut kelojikan akal semata-mata tanpa memerlukan seseorang itu keluar atau mengubah agamanya malah terus kekal menjadi seorang islam tetapi tidak lagi mempercayai dan mengikuti ajaran agamanya yang sebenar. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat: 120.

Maksudnya:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah  itulah petunjuk (yang benar)”. dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah  tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Musuh-musuh Islam mensasarkan serangan pemikiran di kalangan umat Islam khususnya kepada para pemuda dan pemudi Islam. Menurut Nasih Ulwan Di antara cabaran yang menggugat generasi umat islam pada hari ini khususnya para pemuda ialah serangan pemikiran yang merosakkan umat Islam Timur dan Barat. Musuh-musuh islam yang terdiri daripada golongan Orientalis akan berusaha menjauhkan generasi pemuda daripada berpegang dengan ajaran Islam sebenar dengan membawa nilai-nilai baru dan cara pengislahan yang berbagai.

Menurut Mohd Roslan Mohd Nor (2011) faktor gender dijadikan agenda sasaran serangan pemikiran. Mereka menjadikan wanita sebagai sasaran serangan ini. Di Malaysia kumpulan SIS sebuah organisasi yang bernaung di bawah NGO yang memperjuangkan hak-hak feminisme telah mengadakan program musawah yang iaitu mereka memperjuangkan kesaksamaan wanita yang mana mereka memikirkan kaedah untuk membebaskan wanita dari penindasan atas nama agama dan atas nama hukum syarak. Di kalangan mereka ada yang menganggap bahawa undang-undang keluarga islam yang ada seperti tidak memberi keadilan kepada wanita bahkan menurut mereka lagi islam menindas kaum wanita, tidak memberi kebebasan dan mengongkong wanita daripada melakukan aktiviti kemasyarakatan. Serangan pemikiran sebegini telah menyerap masuk ke dalam Negara kita Malaysia sama ada sedar atau tidak musuh-musuh islam telah berjaya menabur jarum-jarum beracun yang merosak dan menjauhi umat islam dari berpegang kepada hukum-hukum syarak.

KESIMPULAN

Daripada perbincangan ini dapat disimpulkan, cabaran yang dihadapi oleh umat islam kini bukan sahaja berbentuk serangan fizikal tetapi umat islam juga berhadapan dengan serangan pemikiran yang dilakukan oleh para musuh islam pada zaman ini. Serangan pemikiran di kalangan umat islam dilakukan dengan cukup berhati-hati ianya diolah dengan rapi dan tersusun bagi memastikan agenda itu tercapai. Mereka tidak hanya menumpukan sasaran mereka kepada golongan-golongan yang kurang pengetahuan di kalangan umat islam akan tetapi menjadikan golongan cendekiawan islam sebagai penyumbang dalam menyampaikan aliran-aliran pemikiran mereka. Secara umumnya didapati mereka mensasarkan serangan pemikiran dengan menimbulkan propaganda pemikiran di kalangan umat islam khasnya golongan pemuda-pemudi. Terdapat banyak aliran pemikiran semasa yang sedang melanda umat di seluruh dunia islam antaranya ialah liberalisme, pluralisme dan hedonisme, aliran-aliran ini sangat merbahaya bagi akidah umat islam baik dalam bidang akidah, mahupun dalam bidang syariah dan akhlak. Aliran-aliran tersebut menyerang pemikiran umat islam dengan cukup rapi serta tersusun, ianya menyerap dan meresap dengan cantik  dalam sosio budaya umat islam hari ini sehingga tidak menampakkan cacat celanya. Justeru, umat islam harus selalu berwaspada terhadap segala bentuk pemikiran yang merosak keyakinan. Tidak kira pemikiran sama ada pemikiran tersebut mempunyai nama-nama yang telah dijenamakan agar kenampakan lebih moderat seperti Islam Moden, Islam Liberal, Islam Rasional, Islam Post Moden dan sebagainya. Jalan Islam hanya satu, iaitu Islam yang sesuai dengan nas-nas kitab suci al-quran, dan sesuai dengan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mutawatir di samping telah dijelaskan oleh ulama-ulama mujtahid ahli sunnah waljamaah. Setiap muslim harus meyakini hanya dengan kembali berpegang kepada al-Quran dan as-Hadis akan dapat menyelamat pegangan seseorang daripada dicemari oleh musuh-musuh Islam. Diharapkan penulisan ini akan dapat memberi inspirasi dan panduan agar dapat membangkitkan kesedaran kita terhadap cabaran serangan pemikiran yang dilakukan oleh musuh-musuh islam, dan semoga Allah memberi petunjuk dan kekuatan agar umat islam mendapatkan cara dan ikhtiar yang terbaik dalam menghadapi serangan pemikiran sehingga umat islam dan kebenaran Islam tetap terpelihara hingga akhir masa.