Powered by Blogger.

Saturday, August 26, 2017

Ayat-ayat Al-Quran mengenai Wahyu


Image result for kalam allah
Al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk manusia di dunia. Selain daripada itu penurunan Al-Quran juga merupakan satu mukjizat yang terbesar kepada Nabi Muhammad SAW. Penurunan Al-Quran berlaku dalam dua peringkat  iaitu secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan kemudiannya secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW. Penurunan Al-Quran memakan masa selama 22 tahun 2 bulan 22 hari. Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi hikmat, petunjuk, penerangan, penjelasan dan ikutan, amalan serta untuk bacaan umat manusia di dunia. Al-Quran merupakan kalam Allah yang benar dan sesiapa yang mengingkarinya adalah kufur. Al-quran adalah wahyu agung yang merupakan suatu perkara yang amat penting dalam Islam malahan menjadi asas kepada kewujudan Islam itu sendiri. Pada hari ini walaupun manusia telah ditinggalkan oleh Nabi beratus tahun dahulu namun Al-Quran yang merupakan wahyu Allah SWT masih kekal dengan keasliannya daripada sebarang perubahan oleh tangan-tangan manusia. Isi kandungan al-Quran dan ajarannya masih tetap relevan dengan masa dan zaman walau telah ditelan masa yang begitu lama tetapi oleh kerana jaminan daripada Allah SWT Al-Quran terpelihara sehingga akhir zaman. Tanpa ragu dan syak wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi SAW mengandungi maksud dan peranan yang amat besar dalam memimpin manusia ke jalan yang benar, membimbing manusia bagi memperoleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, menyuruh manusia melaksanakan syariatnya dalam semua aspek kehidupan, memberitahu khabar gembira tentang balasan syurga kepada yang melakukan kebaikan dan khabar dukacita kepada golongan yang melakukan kejahatan.
Oleh itu, dalam tugasan yang diberikan ini saya akan menjelaskan definisi wahyu menurut bahasa dan menurut istilah syarak sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama mengenainya. Di samping itu adalah untuk mengenal pasti ayat-ayat Qur’an Makkiyah dengan mengenal pasti konsep berkaitan dengan wahyu yang terdapat dalam ayat tersebut  dan menganalisa konsep wahyu makkiyah. Segala rujukan dan isi kandungan tugasan ini diambil daripada petikan kata-kata ulama yang terdapat dalam buku-buku, journal ilmiah dan perbincangan di kalangan rakan-rakan sekuliah.


 DEFINISI WAHYU

Menurut Wan Mohammad Ubaidillah bin Wan Abas & M. Y. Zulkifli (2012) lafaz wahyu dan pecahannya disebut sebanyak 78 kali dalam al-Qur’an. Kalimah yang berasal daripada bahasa Arab ini mempunyai pelbagai makna. Antaranya ialah al-isyarat, al-risalat, al-ilham, al-kalam alkhafiy dan segala apa yang disampaikan kepada orang lain. Ia juga bermaksud inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang. Menurut Kamus Dewan, wahyu bermaksud firman (kalam) Allah yang dibacakan kepada nabi dan rasulnya yang disampaikan sama ada melalui malaikat Jibril ataupun tanpa melaluinya.

WAHYU MENURUT BAHASA

Wahyu menurut bahasa membawa maksud berikut:
  1. Memberitahu sesuatu dengan cara yang tidak jelas atau samar-samar dan segera.
  2. Sesuatu yang ditulis atau al-Risalah yang membawa maksud kerasulan.
  3. Segala yang disampaikan secara rahsia kepada pihak lain supaya dapat diketahuinya.
  4. Wahyu membawa maksud sesuatu yang ditulis atau al-Maktub.
  5. Segala apa yang disampaikan oleh Allah secara rahsia kepada makhluknya baik manusia atau binatang.
  6. Segala apa yang disampaikan oleh makhluk sesama mereka.

Sebagai kesimpulannya, penurunan wahyu menurut bahasa ialah turun dari tempat tinggi. Ia merupakan majaz atau simbolik yang menunjukkan ketinggian Al-Quran dan kemuliaannya. Wahyu juga boleh ditakrifkan iaitu memberi isyarat, mengirim utusan, berbisik-bisik, berbicara di tempat tersembunyi yang tidak diketahui oleh orang lain atau mengilhamkan ke dalam hati sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 7: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia. Dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah Dia di Dalam peti dan) lepaskanlah Dia ke laut; dan janganlah Engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; Sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami”.

PENGERTIAN WAHYU MENURUT ISTILAH

Wahyu dari segi istilah ialah nama bagi sesuatu yang disampaikan secara cepat daripada Allah SWT ke dalam dada nabinya atau dengan cara mengutuskan utusan sebagaimana yang telah digunakan untuk lafaz al-Quran dengan mengutus Jibril as. Nabi Muhammad SAW bukanlah nabi yang pertama menerima wahyu daripada Allah. Bahkan terdapat di kalangan para nabi sebelumnya turut diberikan wahyu kepada mereka. Firman Allah Taala.

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأسْبَاطِ وَعِيسَى وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُدَ زَبُورًا
وَرُسُلا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِنْ قَبْلُ وَرُسُلا لَمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا
Maksudnya: 
“Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (Wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi Yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur”. Dan beberapa orang Rasul Yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul Yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa Dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan.
an-Nisa: ayat 163

Oleh itu dapat difahami dari sini wahyu dari segi istilah syarak bermaksud kalam Allah yang diturunkan kepada seorang Nabi yang mengandungi ajaran dan pedoman hidup atau pemberitahuan Allah SWT kepada orang yang suci bersih lagi terpilih di kalangan hambanya mengenai apa yang dikehendakinya sama ada hidayah ataupun ilmu secara rahsia atau tersembunyi dan juga secara luar biasa. Muhammad Abduh mendefinisikan wahyu sebagai pengetahuan yang didapati oleh seseorang dari dalam dirinya dengan disertai keyakinan bahawa pengetahuan itu datang dari Allah, sama ada melalui perantara ataupun tidak, iaitu melalui suara yang menjelma dalam telinga atau tanpa suara sama sekali, (Wan Mohammad Ubaidillah bin Wan Abas & M. Y. Zulkifli bin Mohd Yusoff). Wahyu boleh berlaku dengan pelbagai cara. Antaranya ialah:
  1. Percakapan antara Tuhan dan hambanya.
Contohnya : peristiwa ketika Nabi Musa berkata-kata dengan Allah swt ketika  bermunajat di Bukit Tursina
  1. Ilham yang diserapkan ke dalam hati orang yang terpilih atas dasar ilmu yang benar dan tidak dapat dinafikan serta tidak ada keraguan padanya.
  2. Mimpi yang benar yang pasti berlaku sebagaimana terbitnya fajar di waktu subuh.
  3. Wahyu yang datang melalui perantaraan malaikat Jibril as malaikat yang mulia dan merupakan ketua segala malaikat.


Daripada pentakrifan yang dilakukan oleh para ulama mengenai wahyu kita dapat simpulkan bahawa pengertian wahyu ialah segala berita yang datang dari Allah SWT yang diturunkan kepada hambanya yang dikasihi dalam bentuk ajaran atau syariat untuk mengatur cara hidup manusia di atas muka bumi ini. Di samping menjadi pegangan dan panduan dalam kehidupan umat manusia.